atm-vs-kelantan-oktober-2013

Kuala Lumpur: Kehangatan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Tentera menentang Kelantan di Stadium Selayang kian dirasai dan penyokong kedua-dua pasukan yang tidak mahu terlepas menyaksikan aksi getir itu boleh mendapatkan tiket masing-masing yang mula dijual mulai jam 9 pagi esok.

Presiden Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, sebanyak 10,400 tiket akan dijual dengan sejumlah 3,000 tiket diperuntukkan kepada penyokong Tentera manakala bakinya dijual kepada masyarakat umum termasuk penyokong Kelantan.

Tiket bagi penyokong Tentera akan dijual di markas-markas Tentera sekitar Lembah Klang pada hari dan masa yang sama” Zulkifeli Mohd Zin, Presiden PBAT

“Jualan tiket bermula 9 pagi Jumaat ini di Stadium MP Selayang manakala tiket bagi penyokong Tentera akan dijual di markas-markas Tentera sekitar Lembah Klang pada hari dan masa yang sama,” katanya pada sidang media semalam.

Zulkifeli, yang juga Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), berkata anggota tentera tidak dibenarkan membeli tiket yang diperuntukkan kepada masyarakat umum di stadium perlawanan.

Harga tiket untuk tempat duduk biasa dan grandstand masing-masing ditetapkan pada RM20 dan RM30.

Skrin gergasi

“Bagi mereka yang tidak sempat membeli tiket, kita akan sediakan dua skrin gergasi di sekitar stadium untuk membolehkan mereka mengikuti perlawanan itu,” kata Zulkifeli.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar, yang turut hadir pada sidang media itu, berkata kira-kira 1,000 anggota polis akan mengawal keselamatan di samping memastikan keadaan trafik terkawal.

“Kita minta semua penyokong yang hadir supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa termasuk tidak membawa sebarang bahan larangan seperti mercun dan suar,” katanya.

NO COMMENTS

Leave a Reply

CommentLuv badge