PESONA yang dimiliki kumpulan yang dianggotai lima anak muda ini bukannya biasa-biasa. Mana tidaknya, selepas Westlife, susah untuk mencari boy band yang benar-benar mampu mengangkat semula martabat penyanyi berkumpulan lalu muncullah The Wanted.

Ditubuhkan pada 2009, gabungan Max George, Nathan Sykes, Tom Parker, Jay McGuiness and Siva Kaneswaran melakar kejayaan demi kejayaan sehinggalah mengecap populariti seperti sekarang. Bukan saja berjaya menakluk rantau Eropah dan sudah menembusi Amerika Syarikat, mereka melebarkan pula sayap untuk menjelajah dunia bagi mengukuhkan nama.

Tidak terkecuali, Isnin lalu, mereka singgah lagi buat kali kedua di sini untuk menjayakan konsert jelajah The Wanted Live in Kuala Lumpur. Biarpun boleh dikatakan band ini sangat ‘in’ pada kala ini, namun agak mengejutkan, sambutan daripada peminat nampaknya gagal mengatasi kehadiran seperti di konsert bintang antarabangsa sebelum ini.

 

 

 

 

Jelas, meskipun populariti mereka mungkin berada di kemuncak pada kala ini, sambutan hambar pada konsert kali ini menunjukkan mereka belum bertapak kukuh di Malaysia walaupun pernah datang ke sini.

 
Bermula tepat jam sembilan, walaupun hanya dihadiri kira-kira 2,000 peminat bukanlah pematah semangat buat lima jejaka berkenaan untuk menghadiahkan satu persembahan yang tidak kurang hebatnya.


Membuka tirai dengan lagu Invincible, jika ada yang beranggapan lima jejaka ini cuma bersandarkan rupa saja, jawapannya tidak. Tampil ringkas dengan persalinan kasual t-shirt dan berseluar jeans, ternyata nyanyian secara langsung mereka tidak mengecewakan.

Langsung tidak memasukkan sebarang gimik pada keseluruhan konsert, konsep persembahan kali ini nampaknya lebih kepada santai dan mesra. Tanpa henti menyanyikan setiap lagu mereka, sewaktu mendendangkan lagu Heart Vacancy, impian lima penonton wanita sempat direalisasikan dan dibawa ke atas pentas untuk bersama mereka.

Turut mencuri perhatian, mereka sempat mengabadikan kecintaan mereka terhadap band tersohor, Coldplay apabila menyanyikan rangkaian lagu-lagu popular mereka termasuklah Paradise dan Viva La Vida. Percaturan mewujudkan segmen berkenaan nampaknya menjadi kerana rata-rata penonton turut menyanyi bersama mereka.

Bagaimanapun, jika dilihat corak persembahan mereka pada malam itu, satu perkara yang perlu dipuji adalah tenaga mereka melaksanakan setiap lagu. Langsung tidak terganggu dengan sambutan yang tidak seberapa, mereka sebaliknya bersungguh-sungguh menghiburkan peminat tanpa rasa jemu.

Menghangatkan lagi suasana, jeritan semakin menggila apabila lagu Chasing The Sun didendangkan. Berbanding lagu-lagu lain, ternyata lagu terbabit yang dimuatkan dalam album terbaru mereka paling dinantikan peminat.

Sebagai lagu penutup tirai, lagu Glad You Came seterusnya berkumandang mengakhiri konsert pada malam itu sebelum mereka memberi tunduk penghormatan kepada semua yang hadir. Selain lagu-lagu itu, antara lagu lain yang mereka nyanyikan termasuklah Lose my mind, Rocket, Lightning, Say it on the radio, Warzone, Gold Forever, All Time Low dan I Found You.

Menyifatkan sangat bertuah dapat kembali ke Malaysia, anggotanya, Nathan sempat melahirkan rasa syukur kerana akhirnya dapat membuat konsert di sini.

“Ini kali kedua kami hadir di sini dan sentiasa merasa berbesar hati dapat berjumpa peminat Malaysia yang sangat-sangat mengagumkan. Terima kasih atas sokongan anda malam ini dan ia satu penghormatan buat The Wanted,” katanya.

 

Apapun, sukar untuk mencari sisi menarik pada konsert kali ini kerana secara keseluruhannya, jika dinilai daripada aspek teknikal, persembahan pada malam itu cukup ringkas dan tidak kelihatan seperti konsert. Terutama pada penggunaan lampu pentas itu sendiri, terlalu minima dan sesekali kedengaran juga sedikit gangguan teknikal pada bahagian bunyi.

Sebelum konsert bermula, bekas vokalis The Click Five yang kini bergerak solo, Kyle Patrick sempat menghiburkan penonton sebagai persembahan ‘opening act’ dan mendendangkan lagu-lagu popularnya seperti Follow Your Heartbeat, Go For Gold!, Wild Ways, Baby Don’t Board That Plane dan Jenny.

 

Sumber – Hmetro

Owner inter4web.com. Online Businessman.

NO COMMENTS

Leave a Reply

CommentLuv badge