Furious 7 Movie Poster

FAST & FURIOUS 7 (2015) ialah sambungan kronologi sebenar atau sekuel siri filem ini, selepas The Fast and The Furious: Tokyo Drift (2006) iaitu filem ke-3 yang diterbitkan oleh Universal Pictures. Bagaimana kisahnya boleh melompat macam itu? Anda kena menonton secara maraton kesemua 6 filem terdahulu sejak yang pertama di tahun 2001.

Fast & Furious 7 ternyata membesarkan lagi empayar pasaran siri filem ini yang mempunyai ciri-ciri ‘formula’ jalan cerita yang sama untuk setiap pembikinannya seperti berikut.

movies-fast-furious-7-04

Pertama sekali ialah barisan berbagai jenama kereta yang lawa laju pantas hebat. Kedua ialah gabungan ‘team’ atau keluarga pemandu-pemandunya yang juga kuat dan hebat. Ketiga, aksi-aksi lumba kereta atau kejar-mengejar kereta yang mengujakan di lokasi-lokasi yang luas atau sempit atau tinggi atau ngeri atau curam atau merbahaya atau gelap atau jalan sebok atau jalan tak ada orang lalu-lalang pun atau dalam kenderaan lain atau bawah kenderaan lain atau dalam bot atau dalam kapalterbang atau dalam bangunan atau di luar bangunan dan semestinya hebat.

Keempat, kisah jenayah yang sedang diuruskan oleh pihak berkuasa yang hebat menentang ketua penjahat yang juga hebat. Kelima, lagu-lagu latar yang sedap hebat. Keenam, yang amat sangat penting ialah aksi lasak atau babak genting yang paling-paling merepek, tetapi ditampilkan dengan penuh bergaya dan ya! sudah tentu ia paparan momen dalam filem itu yang amat hebat!

images (2)

Secara ringkasnya, kalau anda penggemar filem aksi yang masuk akal, jangan menonton filem ini! Kesemua siri filem Fast & Furious mesti mengandungi babak cerita yang tidak masuk akal tetapi mengetengahkan adegan-adegan aksi lasak stunt yang sangat-sangat menghiburkan. Peminat tegarnya tidak perlu pedulikan kritikan dari mana-mana ulasan yang mengatakan filem ini ada yang gagal dari sudut pengembangan cerita atau banyak lubang plot. Ia merupakan sebuah filem bertih jagung rangup yang hanya mengutamakan watak-watak yang berani mati serta kelajuan, jenama atau rupa kereta yang digunakan. Di samping itu ia menyuntik sedikit nilai moral yang nipis mengenai keakraban persahabatan dan kekeluargaan dalam dunia fiksyennya tersendiri.

Percayalah, anda akan lebih teruja menonton Fast & Furious 7 seandainya mengulang semula penontonan kesemua 6 filem yang terdahulu kerana setiap watak cameo yang dimunculkan dalam filem kali ini atau plot-plot kecil yang disumbat merujuk dan berkait kepada filem sebelumnya.

Fast-Furious-7

Babak tambahan dihujung filem Fast & Furious 6 (2013) dimana watak Han (Sung Kang) dilanggar oleh sebuah kereta Mercedes-Benz ‘pemandu tanpa nama’ dalam filem ke-3 iaitu The Fast and The Furious: Tokyo Drift (2006) ialah abang kepada Owen Shaw (Luke Evans) iaitu Deckard Shaw (Jason Statham). Penampilan khas watak Sean Boswell (Lukas Black), Twinkie (Bow Wow) dan Neela (Nathalie Kelley) semasa Dom (Vin Diesel) bertemu mereka di Tokyo ialah babak selepas Sean dan Dom berlumba di akhir filem Tokyo Drift.

Sementara itu babak sedikit kekok semasa Dom bertemu Elena (Elsa Pataky) di hospital semasa melawat Hobbs (Dwayne Johnson) ialah kerana mereka pernah bercinta dalam filem terdahulu tetapi kini Dom sudah kembali kepada Lette (Michelle Rodriguez). Begitu juga tapak Race Wars mengingatkan semula kepada filem yang pertama 2001.

Berbalik kepada ciri-ciri cerita ‘merepek dalam filem ini, saya merasakan bahawa filem ini memang menjadikannya sebagai suatu keperluan wajib sebagai identiti, malahan kadangkala boleh dijangka dan lucu. Babak genting ngeri setiap watak sebelah team Toretto walau seteruk mana pun sudah mahu mati, pasti akan terselamat atau diselamatkan oleh rakan yang lain. Ia seumpama kemestian dalam siri filem ini dimana akan memaparkan banyak babak ‘expect the unexpected’ atau ‘up the ante’ atau ‘push the envelope’ atau ‘push the boundaries’ dan dalam filem kali ini secara literal, sememangnya ada babak kereta terjun ke lembah yang curam ya!

Mungkin, yang saya rasakan sedikit pemalas oleh penulis skrip kali ini kerana perebutan ‘USB thumb drive’ yang disimpan dalam sebuah kereta mengulang semula perebutan ‘computer chip’ dalam Fast Five (2011) yang juga disimpan dalam sebuah kereta. Tapi adakah pihak produksi Universal Pictures dan pengarahnya, James Wan nak peduli kan?

Yang penting dalam filem ini sebuah kereta merah Lykan HyperSport sudah ‘menembusi’ 3 buah menara Etihad Towers di Abu Dhabi. Filem lain ada?

paul-walker-fast-furious-movies

Kesimpulannya, semua orang sudah tahu mengenai kematian Paul Walker semasa penggambaran Fast & Furious 7 sedang berlangsung. Kerana itulah filem ini ditambah babak di akhirnya sebagai penghormatan ‘selamat tinggal’ kepada watak Brian O’Conner untuk selama-lamanya yang dibikin dengan subtle tanpa mematikan watak tersebut di dalam filem. Benar, imbasan montages dari lakonan Paul Walker dalam siri filem sebelumnya yang dilatari oleh lagu “See You Again” nyanyian oleh Wiz Khalifa feat. Charlie Puth memang menyentuh hati.

SIMILAR ARTICLES

1 COMMENT

  1. Former cop Brian O’Conner is called upon to bust a dangerous criminal and he recruits the help of a former childhood friend and street racer who has a chance to redeem himself.

Leave a Reply

CommentLuv badge