SATU lagi lakaran sejarah tercipta apabila skuad bawah 21 tahun negara (B-21) menewaskan pasukan tuan rumah Vietnam 1-0 untuk muncul juara VFF Newspaper Cup 2012 di Gia Lai semalam. Skuad Ong Kim Swee muncul juara kali pertama selepas 6 edisi Vietnam Newspaper Cup 2012.

Pada aksi final yang cukup sengit dengan diselangi insiden buruk penyokong tuan rumah membaling botol ke dalam padang, penyerang muda negara, Ahmad Hazwan Bakri muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan pada babak kedua.

Pencapaian itu dianggap cukup membanggakan buat pengendali Ong Kim Swee yang terpaksa mencongak formula terbaik selepas pasukannya hadir tanpa empat tonggak utama yang menyertai skuad kebangsaan.

Malah beliau berdepan situasi lebih parah menjelang aksi final semalam dengan masalah lima kecederaan pemain utama membabitkan Syahrul Azwari Ibrahim, A Thamil Arasu, Ariff Farhan Md Isa, Fandi Othman dan Syazwan Tajudin sehingga terpaksa bergantung harapan terhadap pemain baru yang jarang beraksi di pentas antarabangsa.

Namun masalah itu tidak menghalang skuad B-21 negara apabila mereka memberikan persembahan baik pada babak pertama biarpun meletakkan Hazwan sebagai penyerang tunggal sambil dibantu kapten Irfan Fazail dari tengah.

Malaysia memperoleh gol pada minit ke-56 selepas sepakan percuma Nurridzuan Abu Hassan ditanduk masuk Hazwan untuk melenyapkan sorakan penyokong Vietnam.

Ketinggalan 1-0 mendorong pasukan tuan rumah menggandakan asakan, namun pujian harus diberikan kepada penjaga gol negara, Izham Tarmizi Roslan yang menyelamatkan keadaan.

“Saya berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan pemain. Mereka mempamerkan keazaman tinggi untuk menang,” kata Kim Swee.

Selaku juara, skuad muda negara membawa pulang trofi dan wang tunai RM36,600 manakala Izham yang dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik menerima RM1,500.

Izham Tarmizi penjaga gol terbaik kejohanan Piala Newspaper 2012!

 

Sumber -hmetro

NO COMMENTS

Leave a Reply

CommentLuv badge