Sungguh pun sibuk dengan persiapan persembahan jelajah yang akan berlangsung di beberapa negara di seluruh dunia termasuk Malaysia, Yuna sempat meluangkan masa sekitar 40 minit untuk berbicara mengenai album yang dianggap sungguh istimewa.

Selain teruja membincangkan tentang kolaborasi bersama beberapa artis antarabangsa popular seperti Tyler, The Creator, G-Eazy, Kyle dan Jay Park, pemilik nama lengkap Yunalis Mat Zara’ai itu turut berkongsi tentang keinginannya untuk melihat akar tradisi Melayu dipandang serius, khususnya oleh peminat di luar negara.

Tahniah Yuna atas pelancaran album Rouge. Apakah cabaran yang dilalui dari sudut kreativiti sewaktu menghasilkan album ini?

YUNA: Saya mengambil masa selama dua tahun untuk menghasilkan album ini. Benar, tempoh tersebut agak lama untuk menghasilkan sebuah album studio. Tetapi, hal tersebut berlaku kerana saya bekerja dengan penerbit berlainan. Maklumlah, untuk mendapatkan bunyi yang sesuai bukan satu perkara mudah. Pada mulanya, saya tidak tahu lagu jenis yang apa sesuai untuk dimuatkan dalam album ini. Namun, selepas bertenang dan selesa dengan situasi muzik pada waktu itu, saya mula menulis.

Menerusi album kali ini, anda dapat berkolaborasi dengan nama-nama besar dalam industri. Bagaimanakah rasanya apabila berpeluang bekerja dengan penyanyi rap popular, Tyler, The Creator menerusi lagu Castaway?

Tyler sangat baik dan saya berasa senang bekerja dengannya. Buat pengetahuan semua, hampir 90 peratus lagu kolaborasi dalam album ini dirakamkan secara berasingan. Begitu juga lagu yang dibikin dengan Tyler. Jadi, apabila Castaway disiapkan, secara automatik saya terfikirkannya. Saya sangat menghargai kerjasama ini kerana Tyler sendiri sedang sibuk pada waktu itu untuk menyelesaikan projeknya. Namun, dia tetap meluangkan masa untuk saya.

Adakah anda meletakkan sebarang syarat terhadap Tyler sebelum dia mula menulis rangkapnya dalam Castaway kerana kebanyakan lirik dalam lagunya sebelum ini sarat dengan kata-kata kurang sopan?

Mungkin disebabkan kami sudah pernah berjumpa sebelum ini, dia seperti sudah tahu tentang saya. Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh menulis lirik yang lebih sopan berbanding lagu-lagunya sebelum ini.

Boleh kongsikan tentang lagu yang mempunyai nilai sentimental paling tinggi buat diri anda?

Sukar sebenarnya untuk memilih lagu kegemaran. Tetapi, apa yang boleh saya katakan, lagu Castaway begitu dekat dengan saya. Sebelum mendapat persetujuan daripada Tyler, saya sudah dapat rasakan lagu ini istimewa. Secara peribadi, muziknya memberi impak kepada saya dan liriknya pula terpaksa diubah sebanyak lima kali untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.

Adakah anda meletakkan sebarang sasaran sepanjang menyiapkan album Rouge?

Ketika menyiapkan album ini, saya tidak pernah meletakkan sebarang sasaran. Saya bermula dengan proses penulisan dan memilih lagu-lagu terbaik untuk dimuatkan dalam album. Saya sedar, Rogue menampilkan beberapa penyanyi rap dan mungkin ada yang berpendapat saya mahu menghasilkan sebuah album bertemakan hip-hop. Namun, tanggapan tersebut tidak benar sama sekali. Saya mahu menghasilkan sebuah album yang bukan sahaja seronok untuk disiapkan, tetapi juga seronok didengar.

Adakah anda menyasarkan untuk meraih sebarang anugerah menerusi album berkenaan?

Ketika proses menyiapkan Rogue, saya sentiasa memberikan yang terbaik. Banyak masa dihabiskan di studio untuk memperkemaskan album ini. Jadi, pada akhirnya, saya hanya mahu pendengar menikmati album ini sepenuh hati. Saya tidak begitu fokus terhadap anugerah. Tetapi, satu bonus buat saya andai Rogue mendapat pengiktirafan.

Sampul album Rogue sungguh unik. Adakah gaya glamor yang diketengahkan pada gambar tersebut merupakan idea anda?

Benar, sewaktu proses mencari idea bagi gambar sampul album, saya meminta juru gaya supaya mencari pakaian yang minimal tetapi masih kelihatan ‘kuat’. Jadi, terhasil gambar tersebut yang turut menampilkan sanggul Melayu yang dijadikan sebagai mahkota. Oh ya, saya kelihatan tinggi dalam gambar itu kerana berdiri di atas kerusi!

Dalam Rogue, terdapat sebuah lagu berbahasa Melayu berjudul Tiada Akhir. Bagaimanakah reaksi label (syarikat rakaman) ketika mendapat tahu tentang keputusan anda untuk memuatkan lagu berkenaan?

Sebenarnya, saya tidak bercadang untuk memuatkan lagu tersebut dalam Rogue. Tetapi, saya cuba selitkan lagu Tiada Akhir ketika mahu menghantar album ini kepada label. Seperti kita tahu, setiap trek dalam album merupakan pelaburan pihak label dan setiap lagu perlu ada kelebihan untuk diketengahkan kepada audiens.

Begitu pun, saya berasa sangat gembira kerana label menerima Tiada Akhir dengan baik. Mereka suka terhadap melodi lagu tersebut dan meminta saya untuk menyediakan terjemahan lagu itu dalam bahasa Inggeris. Lagu ini boleh dikatakan sama seperti lagu Penakut dan Cinta Sempurna yang pernah saya rakam dulu.

Selepas sekian lama berada di Amerika Syarikat, jika diberikan peluang, apakah pegangan atau nasihat untuk diri sendiri sewaktu album debut antarabangsa berkenaan dipasarkan?

Dahulu Yuna merupakan seorang wanita yang pemalu dan berasakan kehidupannya di Los Angeles, Amerika Syarikat sangat menggerunkan. Apa yang boleh saya nasihatkan pada Yuna yang dahulu adalah jangan takut mengambil risiko untuk mencuba sesuatu yang berlainan.

Mungkin dahulu saya takut untuk bekerjasama dengan penyanyi rap kerana bimbangkan pandangan orang. Sehinggalah 10 tahun kemudian, baru saya beranikan diri untuk bertanya. Jika saya berani pada ketika itu, mungkin saya telah meraih lebih banyak kejayaan di luar negara.

Menerusi album terbaharu, Rouge, Yuna merealisasikan impiannya untuk berkolaborasi dengan nama-nama besar dalam industri muzik antarabangsa dan mengetengahkan akar budaya Malaysia di persada dunia.

Sharing is caring..?